Thursday 30 April 2015

KAJIAN MENDAPATI PENGURUSAN MASJID MASIH DI TAKUK LAMA



Di Malaysia terdapat banyak sekali kajian dilakukan tentang masjid sama ada mengenai pengurusan, aktiviti dan sebagainya. Namun begitu tiada kajian yang dibuat tentang amalan pengurusan aktiviti dakwah kepada remaja serta analisa kemahiran mengurus dan kefahaman pengurusan berdasarkan Tasawwur Islam. Antaranya;



Fadzila Azni binti Ahmad (2008) dalam kajian Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan berteraskan Islam Di Malaysia, Kajian Ilmiah, Ijazah Doktor Falsafah mendapati daripada fasa pertama penganalisisan membuktikan bahawa Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) adalah kaedah pengurusan yang paling banyak diguna pakai oleh institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam. Dapatan daripada fasa penganalisisan kedua dan ketiga pula merumuskan bahawa TQM tidak begitu sesuai diguna pakai oleh institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan kepada ketidakselarian TQM dengan tasawur, epistemologi dan ontologi Islam. 


Dari kajian ini , didapati bahawa kaedah pengurusan barat yang digunapakai oleh institusi-institusi di Malaysia tidak sesuai dengan pengurusan Islam kerana ia bercanggah dengan tasawwur, epistemologi dan ontologi Islam terutama sekali bagi organisasi masjid dan institusi-institusi Islam. Pengkaji ingin melihat adakah pengurusan masjid juga menggunapakai pengurusan yang tidak sesuai dengan Tasawwur Islam ini.


Yaakub Abdul Rahim (1996), Keupayaan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebagai Pusat Pembangunan Belia Setempat dari Pandangan Pegawai Dan Ahli Jawatankuasa. Tesis sarjana sains Universiti Putera Malaysia, telah membincangkan keupayaan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan belia. Hasil kajian mendapati bahawa institusi masjid berupaya menyelamatkan belia dari unsur negatif dengan mengadakan program pengimarahan masjid, melalui penubuhan kelab agama, mengadakan kelas fardu ain, melalui kegiatan sosial yang terancang dan pembangunan aktiviti pertanian. 


Mohd. Mohadis bin Hj. Yasin (1997), Pengurusan dan Pentadbiran Institusi Masjid: Kajian Kes di Negeri Melaka; dalam disertasinya bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, antara lain menyentuh konsep dan falsafah yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w, merangkumi aspek perhubungan manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia. Begitu juga halnya semasa di bawah kepimpinan khalifah Islam berikutnya, institusi masjid menjadi nadi penggerak yang menyumbang kepada kemajuan dan tamaddun umat. Di dapati bahawa kebanyakkan masjid masih mengamalkan pengurusan secara tradisi yang tidak professional dan dinamik, hanya menumpukan kepada solat berjemaah dan kelas-kelas pengajian yang tidak formal. Antara masalah utama yang menyumbang kepada kelemahan intitusi masjid ialah ketiadaan perancangan dan penyelarasan yang menyeluruh di peringkat negeri.


Haji Ismail bin Haji Abd. Manap (1998) telah menjalankan satu kajian dalam disertasi Ijazah Sarjana Usuludin, Akademi Pengajian Islam ,Universiti Malaya mengenai Peranan Masjid Menurut al-Sunnah: Tumpuan Utama Kepada Masjid-Masjid Di Brunei Darussalam. Kajian ini dibuat, di mana penulis cuba membincangkan konsep masjid menurut al-sunnah dengan menampilkan beberapa pendapat dan pandangan ulamak muktabar yang menyanjung mereka yang mendiri dan memakmurkan masjid. Beliau mencadangkan supaya pihak pengurusan dan pentadbiran masjid sentiasa mengemas kini semua fail dan rekod. Sejajar dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar berpandukan contoh yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. keberkesanan fungsi masjid adalah disebabkan oleh kebijaksanaan dan kewibawaan para pentadbir masjid yg terdiri dari golongan ulama yang berpengaruh dan dihormati, Pengawalan pembangunan masjid melalui akta dan undang2 telah membawa kepada pentadbiran yang semakin teratur. 


Mohamad Zain bin Dolah (1999) telah menjalankan kajian untuk disertasi sarjananya yang bertajuk Khutbah Jumaat Di Wilayah Persekutuan : Suatu Kajian Mengenai Isu-Isu Akidah . Kajian ini lebih tertumpu kepada kedudukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, antara fungsi dan peranannya terhadap organisasi masjid khususnya dalam hubungan yang berkaitan dengan khutbah jumaat. Beliau mengkaji tentang penyampaian khutbah pada hari jumaat. 


Beliau cuba memberi saranan idea yang difikirkan dapat mempertingkat prestasi masjid dengan bersandarkan kepada apa yang digariskan oleh ulamak terdahulu dan panduan semasa yang perlu diambil kira seperti ilmu psikologi, komunikasi, pengurusan pentadbiran, kewangan dan sebagainya; supaya para khatib, imam dan pegawai masjid boleh menjalankan aktiviti masjid seiring dengan kehendak agama dan sesuai pula dengan perkembangan semasa.

No comments:

Post a Comment