Jabatan Agama Islam Negeri Perlis telah pun mempunyai
satu struktur pengurusan masjid untuk seluruh negeri Perlis. Walau bagaimana
pun tidak diketahui apakah kaedah-kaedah yang diguna pakai untuk mentadbir dan
menguruskan masjid. Apa yang jelas ialah jawatan kuasa pengurusan masjid adalah
terdiri daripada mereka yang dilantik oleh ahli kariah. Perkara yang menjadi
masalah ialah pemilihan jawatan kuasa adalah lebih cenderung kepada memilih
calon-calon tertentu sahaja. (Idris). Pada hal calon-calon yang
dipilih adalah mereka yang berkelulusan rendah berdasarkan kepada kajian tersebut
mendapati tahap pencapaian akademik 58.6 % daripada para imam dan ahli jawatan
kuasa masjid adalah setakat darjah enam. (Ibid : 22). Namun terdapat juga ahli jawatan kuasa masjid yang berilmu pengetahuan tinggi tetapi tidak mampu mentadbir masjid sebagaimanayang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.
Kajian tersebut juga mendapati pihak jabatan Agama Islam Negeri Perlis menghadapi masalah pentadbiran khususnya mengenai kawalan orang bawahan (Idris). Tanpa pengawalan yang rapi, apa-apa penyelewengan yang berlaku mungkin tidak dapat dikesan. Ini tentulah amat berbahaya kerana dalam segala proses bermatlamat penyelewengan adalah pembaziran yang merugikan dan akhirnya mungkin menjejaskan matlamat (Abdul Rahim Said). Berlaku salah guna kuasa dengan membuat pelbagai projek tanpa kelulusan dari ahli mesyuarat seperti membeli tv, membuat papan iklan, dan sebagainya.
Negeri
Selangor telah mendahului negeri-negeri lain dalam pengurusan masjid kerana
telah diwujudkan Penilaian Penanda Aras Pencapaian (KPI) bagi semua masjid dan
surau seluruh negeri Selangor ( KPI Pengurusan Masjid, JAIS: 2012). Namun
apabila diperhatikan, masih terdapat kelompongan dalam aktiviti remaja
sedangkan golongan remaja inilah yang akan menerajui kepimpinan negara pada
masa akan datang. Malangnya peratus remaja terlibat dengan berbagai masalah
sosial kian bertambah. Mana hak para beliadan remaja untuk mendekatkan diri dan hati mereka dengan masjid. Orang dewasa hanya tahu menyalahkan mereka apabila perkara keji berlaku tetapi tiada perihatin dari golongan dewasa terhadap mereka.
Thomas Carlyle memperkenalkan teori yang dipanggil Great
Man Theory yang menyatakan bahawa setiap zaman memiliki pemimpin besarnya yang
tersendiri. Perubahan sosial biasanya akan berlaku apabila pemimpin besar dari
kalangan mereka memimpin bagi memulakan perubahan dan menghalang sesiapa sahaja
yang membawa maksud yang berlawanan dengan mereka. Masjid adalah tempat da'i yang sepatutnya melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat, kenapa sebaliknya berlaku.
Gordon Willard
Allport pula adalah antara pemikir
terawal yang mengutarakan Trait Theory. Teori ini menyatakan bahawa seorang
pemimpin itu memiliki peribadi dan karakter yang berbeza dengan kebanyakan
orang. Sebagaimana contohnya, seseorang pemimpin itu mempunyai kelebihan dapat
menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling secepat mungkin, kepekaan sosial,
seorang yang bercita-cita tinggi dan besar, berpandangan jauh, kreatif dan
inovatif, mempunyai keinginan mendominasi, energetik, yakin dengan dirinya
sendiri, kalis daripada tekanan dan sedia memikul tanggungjawab. Nabi Muhammad s.a.w adalah pemimpin yang mendahului zaman, baginda memimpin dunia bermula dengan memimpin sebuah masjid, berapa ramai khalifah terdahulu yang dididik melalui masjid, kesemuanya lahir dari didikan dan bimbingan masjid. Mana peranan masjid tersebut pada masa sekarang.
Apapun metod
dan teori yang diajarkan di barat sana, namun kita sebagai orang Islam
sepatutnya terlebih dahulu merujuk kepada sumber Ilahiyat dalam agama kita
iaitu al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Soal ada metod atau tidak bukan soal pokok,
soalnya siapakah pemimpin yang terbaik
bagi dijadikan role model, yang memiliki qudwah hasanah dalam pengurusannya.
Sebagaimana pesan Allah Taala yang bermaksud:
“Sesungguhnya, adalah
bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia
pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah
al-Ahzab, ayat 21)
Pengurusan
Islam meletakkan Nabi Muhammad saw
adalah manusia yang terbaik dari segenap sudut khususnya kepimpinan sebagaimana
yang dinukilkan oleh Michael H. Hart dalam bukunya 100 Most Influential Person
In The World. Beliau meletakkan Nabi
Muhammad di tempat yang pertama mengalahkan 99 individu dengan katanya tidak
ada manusia yang dikenang dan diperincikan segenap perkara mengenai hidupnya
dan beliau mampu membina sebuah tamadun yang gemilang dengan hanya mengambil
masa 23 tahun malah mampu menjadi contoh dari sudut emosi, spiritual dan keduniaan
dengan begitu berjaya sekali. Inilah isu utama yang ingin diteliti oleh
pengkaji, pengurusan masjid sekarang seolah-seolah tergelincir dari
landasannya. Mengembalikanya ke landasan yang betul menjadi tanggungjawab semua
pihak amnya dan khasnya jabatan agama Islam Negeri.
Terdapat
beberapa sebab, masalah pengurusan aktiviti dakwah di masjid untuk golongan
remaja ini perlu diteliti dan dikenalpasti. Kekuatan dan kelemahan sesuatu
bangsa dan negara amat bergantung kepada golongan muda yang merupakan tonggak
dan pewaris kesinambungan pembangunan dan kesejateraan negara. Golongan muda
yang cemerlang dalam pelbagai aspek seperti akademik, kemahiran, sahsiah dan
jati diri amat diperlukan untuk menyumbang secara positif kepada kecemerlangan
pengukuhan ekonomi serta masa depan negara ( Fauziah, 2009). Fikirlah wahai umat islam sekelian terutama pemimpin masjid. adakah aku melaksanakan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika hayat baginda sebagai pemimpin di masjid.
No comments:
Post a Comment