Tuesday 23 December 2014

Pemimpin Masjid Wajib Sensitif Keperluan Masyarakat.

Dalam era globalisasi yang mana manusia harus berhadapan dengan dunia tanpa sempadan, pelbagai cabaran khasnya yang berkaitan dengan masalah sosial dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda remaja amat membimbangkan. Sebagai salah satu usaha murni untuk membantu mengatasi masalah tersebut, beberapa faktor pelindung bagi menangani masalah berkaitan dengan remaja adalah diperlukan (Smith, 2004). Justeru itu, menyedari bahawa aspek keagamaan merupakan elemen penting untuk mengekang masalah sosial yang lebih rumit, maka penerapan dan pengukuhan agama dalam kalangan anak-anak perlu diberikan perhatian utama. Pengetahuan agama  yang kukuh mampu menjadi pelindung kepada generasi muda remaja yang  berada di peringkat pembesaran dan sedang mencari identiti diri (Corcoran & Nichols-Casebot, 2004; Wallace, dll., 2007).  Remaja yang mempunyai pegangan dan pengetahuan agama yang tinggi dilihat mampu mengatur kehidupannya  dengan lebih tenang,  sempurna dan sejahtera (McCullough & Willioughby, 2006).

Keperluan remaja kepada agama sangat tinggi bagi membendong salah laku devien atau  keruntuhan akhlak remaja. Banyak kajian yang dibuat tentang keperluan remaja kepada agama, dan kajian tersebut membuktikan bahawa agamalah jalan penyelesai kepada kemelut tersebut . Robiah,(2001) Kepercayaan agama merupakan suatu tenaga paling unggul untuk mencegah dan menentang segala unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan prinsip dan pendirian yang kukuh  berlandaskan ajaran agama dapat mencegah seseorang remaja daripada dipengaruhi  oleh unsur-unsur pergaulan bebas yang tidak sihat dan melampaui batas.

Selain sekolah,  tiada tempat untuk remaja mendapatkan  ilmu agama yang cukup. Oleh itu, masjidlah tempat yang sewajarnya berfungsi memberi ilmu agama seperti akidah, syariah, fardu ain, al-Quran dan sirah para nabi. Malangnya, masjid tidak menjadi tempat yang wajib didatangi oleh mereka. Mengapakah hal ini berlaku, adakah disebabkan ketiadaan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan zaman mereka, atau disebabkan pengurusan masjid yang tidak menghiraukan perkembangan dan masalah remaja masa kini atau disebabkan ketandusan pemimpin-pemimpin yang mampu mengurus masjid dengan sebaiknya sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah saw.

Senario remaja masa sekarang mengikut Tan Sri Lee Lam Thye mengatakan 2,425 orang pelaku jenayah melibatkan remaja. Mymetro 16 November 2011 melaporkan anak tak sah taraf meningkat hingga 152,182 orang, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi 18,983 orang. (Sumber:JPN). Harian Metro 28 Disember 2010 melapor 111,484 orang pelajar terlibat dengan masalah disiplin di sekolah dan PDRM menyatakan 2004 hingga 2010 seramai 396 orang bayi dibuang dan  2011 pada bulan januari sahaja 34 kes telah dilaporkan. Graf di bawah membuktikan tahap kritikal kelahiran anak luar nikah.Sumber: Berita Harian :21 Mac 2010 & Mymetro: 16 Nov 2011

Masalah remaja dalam kes dadah pula, Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang. Mengikut laporan Agensi Anti dadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009. Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.

Mengikut Jabatan Siasatan Jenayah Pemerdagangan (JSJK), Malaysia mencatatkan kerugian akibat jenayah kolar putih sejumlah RM2 billion pada tahun 2008. Pada tahun 2005 didapati sebanyak 8,952 kes dan meningkat sehingga 168% pada tahun 2010 iaitu sebanyak 24,023 kes. Jenayah ini lebih merbahaya dan lebih besar impaknya menurut laporan ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ( Berita Kampus, 17 Mei 2012).

Malaysia mempunyai jumlah remaja seramai 5.47 juta yakni 1 per lima daripada seluruh penduduk Malaysia, mengikut laporan UNICEF bagi tahun 2010 hingga 2011 yang berusia 10 hingga 19 tahun. Pada tahun 2010, seramai 111,484 remaja yang terlibat dengan salah laku pelajar. Pada 2011 anak tak sah taraf sahaja 152,182. Berapakah tinggal baki remaja yang berpotensi untuk memajukan negara dan mereka ini pula terlibat dengan jenayah kolar putih yang semakin berleluasa malah susah untuk ditangani.

Kita lihat berbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mendepani masalah sosial masa kini yang semakin tempang. Justeru itu, usaha berterusan mesti dilakukan oleh semua pihak. Hanya satu cara yang diajar oleh Allah dan Rasulullah iaitu  dengan kembali kepada kaedah tarbiah Rasulullah s.a.w sebagaimana baginda sampai ke Madinah al-Munawwarah. Institusi pertama untuk mendidik remaja dengan mendatangkan mereka ke  masjid bukan setakat untuk solat dan meraikan hari-hari kebesaran islam tetapi lebih dari itu. Masjid hendaklah dijadikan tempat utama pusat tarbiah bukan membiarkan sekolah-sekolah yang mengambil alih tugas ini. Pendidikan agama untuk para remaja telah dipertangungjawabkan hanya kepada pihak sekolah. Inilah kesilapan pengurusan dakwah  di kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, adalah penting membudayakan pengurusan yang berkesan untuk mendidik masyarakat supaya dapat menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke kancah kemurkaan Allah S.W.T. Pengurusan masjid mesti berperanan mendidik para ibu yang akan mendidik pula anak-anak sejak dalam kandungan sehingga melahirkan pemuda pemudi yang berjiwa murni. Pengurusan masjid juga mestilah pro aktif dan kreatif dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memenuhi kehendak remaja masa kini untuk mendidik para remaja supaya mereka sentiasa dibimbing dan dipandu ke jalan yang benar. Untuk itu, pengurusan, pentadbiran, kepimpinan dan keaktifan saf ahli jawatan kuasa  di intitusi masjid adalah satu keperluan untuk menarik minat golongan tersebut.

Keaktifan saf pengurusan dan kepimpinan  dengan melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah  akan memandu para ibu, isteri dan anak-anak ke arah wanita solehah dan soleh. Diharapkan natijahnya akan terhindarlah anak remaja yang terlibat dengan berbagai gejala sosial hasil dari didikan ibu dan bapa yang akrab dengan masjid dan remaja-remaja yang gemar ke masjid.


Berdasarkan sebab-sebab di atas, maka satu kajian perlu dilakukan untuk memantapkan pengurusan aktiviti masjid supaya dapat menepati sasaran iaitu membimbing dan mendidik para remaja ke arah akidah, syariat dan akhlak yang betul. Maka dengan ini akan melahirkan remaja dan pemuda yang mempunyai jati diri yang tinggi dan mampu menungkah arus untuk mendepani masalah yang akan datang. Mereka juga berkemampuan membangunkan negara sebagai daulah Islamiayah yang menjurus kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment