Thursday 30 April 2015

KAJIAN MENDAPATI PENGURUSAN MASJID MASIH DI TAKUK LAMA



Di Malaysia terdapat banyak sekali kajian dilakukan tentang masjid sama ada mengenai pengurusan, aktiviti dan sebagainya. Namun begitu tiada kajian yang dibuat tentang amalan pengurusan aktiviti dakwah kepada remaja serta analisa kemahiran mengurus dan kefahaman pengurusan berdasarkan Tasawwur Islam. Antaranya;



Fadzila Azni binti Ahmad (2008) dalam kajian Kaedah Pengurusan Institusi-Institusi Pembangunan berteraskan Islam Di Malaysia, Kajian Ilmiah, Ijazah Doktor Falsafah mendapati daripada fasa pertama penganalisisan membuktikan bahawa Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) adalah kaedah pengurusan yang paling banyak diguna pakai oleh institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam. Dapatan daripada fasa penganalisisan kedua dan ketiga pula merumuskan bahawa TQM tidak begitu sesuai diguna pakai oleh institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan kepada ketidakselarian TQM dengan tasawur, epistemologi dan ontologi Islam. 


Dari kajian ini , didapati bahawa kaedah pengurusan barat yang digunapakai oleh institusi-institusi di Malaysia tidak sesuai dengan pengurusan Islam kerana ia bercanggah dengan tasawwur, epistemologi dan ontologi Islam terutama sekali bagi organisasi masjid dan institusi-institusi Islam. Pengkaji ingin melihat adakah pengurusan masjid juga menggunapakai pengurusan yang tidak sesuai dengan Tasawwur Islam ini.


Yaakub Abdul Rahim (1996), Keupayaan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebagai Pusat Pembangunan Belia Setempat dari Pandangan Pegawai Dan Ahli Jawatankuasa. Tesis sarjana sains Universiti Putera Malaysia, telah membincangkan keupayaan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai pusat pembangunan belia. Hasil kajian mendapati bahawa institusi masjid berupaya menyelamatkan belia dari unsur negatif dengan mengadakan program pengimarahan masjid, melalui penubuhan kelab agama, mengadakan kelas fardu ain, melalui kegiatan sosial yang terancang dan pembangunan aktiviti pertanian. 


Mohd. Mohadis bin Hj. Yasin (1997), Pengurusan dan Pentadbiran Institusi Masjid: Kajian Kes di Negeri Melaka; dalam disertasinya bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, antara lain menyentuh konsep dan falsafah yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w, merangkumi aspek perhubungan manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia. Begitu juga halnya semasa di bawah kepimpinan khalifah Islam berikutnya, institusi masjid menjadi nadi penggerak yang menyumbang kepada kemajuan dan tamaddun umat. Di dapati bahawa kebanyakkan masjid masih mengamalkan pengurusan secara tradisi yang tidak professional dan dinamik, hanya menumpukan kepada solat berjemaah dan kelas-kelas pengajian yang tidak formal. Antara masalah utama yang menyumbang kepada kelemahan intitusi masjid ialah ketiadaan perancangan dan penyelarasan yang menyeluruh di peringkat negeri.


Haji Ismail bin Haji Abd. Manap (1998) telah menjalankan satu kajian dalam disertasi Ijazah Sarjana Usuludin, Akademi Pengajian Islam ,Universiti Malaya mengenai Peranan Masjid Menurut al-Sunnah: Tumpuan Utama Kepada Masjid-Masjid Di Brunei Darussalam. Kajian ini dibuat, di mana penulis cuba membincangkan konsep masjid menurut al-sunnah dengan menampilkan beberapa pendapat dan pandangan ulamak muktabar yang menyanjung mereka yang mendiri dan memakmurkan masjid. Beliau mencadangkan supaya pihak pengurusan dan pentadbiran masjid sentiasa mengemas kini semua fail dan rekod. Sejajar dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar berpandukan contoh yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. keberkesanan fungsi masjid adalah disebabkan oleh kebijaksanaan dan kewibawaan para pentadbir masjid yg terdiri dari golongan ulama yang berpengaruh dan dihormati, Pengawalan pembangunan masjid melalui akta dan undang2 telah membawa kepada pentadbiran yang semakin teratur. 


Mohamad Zain bin Dolah (1999) telah menjalankan kajian untuk disertasi sarjananya yang bertajuk Khutbah Jumaat Di Wilayah Persekutuan : Suatu Kajian Mengenai Isu-Isu Akidah . Kajian ini lebih tertumpu kepada kedudukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, antara fungsi dan peranannya terhadap organisasi masjid khususnya dalam hubungan yang berkaitan dengan khutbah jumaat. Beliau mengkaji tentang penyampaian khutbah pada hari jumaat. 


Beliau cuba memberi saranan idea yang difikirkan dapat mempertingkat prestasi masjid dengan bersandarkan kepada apa yang digariskan oleh ulamak terdahulu dan panduan semasa yang perlu diambil kira seperti ilmu psikologi, komunikasi, pengurusan pentadbiran, kewangan dan sebagainya; supaya para khatib, imam dan pegawai masjid boleh menjalankan aktiviti masjid seiring dengan kehendak agama dan sesuai pula dengan perkembangan semasa.

Tuesday 23 December 2014

Pemimpin Masjid Wajib Sensitif Keperluan Masyarakat.

Dalam era globalisasi yang mana manusia harus berhadapan dengan dunia tanpa sempadan, pelbagai cabaran khasnya yang berkaitan dengan masalah sosial dan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda remaja amat membimbangkan. Sebagai salah satu usaha murni untuk membantu mengatasi masalah tersebut, beberapa faktor pelindung bagi menangani masalah berkaitan dengan remaja adalah diperlukan (Smith, 2004). Justeru itu, menyedari bahawa aspek keagamaan merupakan elemen penting untuk mengekang masalah sosial yang lebih rumit, maka penerapan dan pengukuhan agama dalam kalangan anak-anak perlu diberikan perhatian utama. Pengetahuan agama  yang kukuh mampu menjadi pelindung kepada generasi muda remaja yang  berada di peringkat pembesaran dan sedang mencari identiti diri (Corcoran & Nichols-Casebot, 2004; Wallace, dll., 2007).  Remaja yang mempunyai pegangan dan pengetahuan agama yang tinggi dilihat mampu mengatur kehidupannya  dengan lebih tenang,  sempurna dan sejahtera (McCullough & Willioughby, 2006).

Keperluan remaja kepada agama sangat tinggi bagi membendong salah laku devien atau  keruntuhan akhlak remaja. Banyak kajian yang dibuat tentang keperluan remaja kepada agama, dan kajian tersebut membuktikan bahawa agamalah jalan penyelesai kepada kemelut tersebut . Robiah,(2001) Kepercayaan agama merupakan suatu tenaga paling unggul untuk mencegah dan menentang segala unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan prinsip dan pendirian yang kukuh  berlandaskan ajaran agama dapat mencegah seseorang remaja daripada dipengaruhi  oleh unsur-unsur pergaulan bebas yang tidak sihat dan melampaui batas.

Selain sekolah,  tiada tempat untuk remaja mendapatkan  ilmu agama yang cukup. Oleh itu, masjidlah tempat yang sewajarnya berfungsi memberi ilmu agama seperti akidah, syariah, fardu ain, al-Quran dan sirah para nabi. Malangnya, masjid tidak menjadi tempat yang wajib didatangi oleh mereka. Mengapakah hal ini berlaku, adakah disebabkan ketiadaan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan zaman mereka, atau disebabkan pengurusan masjid yang tidak menghiraukan perkembangan dan masalah remaja masa kini atau disebabkan ketandusan pemimpin-pemimpin yang mampu mengurus masjid dengan sebaiknya sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah saw.

Senario remaja masa sekarang mengikut Tan Sri Lee Lam Thye mengatakan 2,425 orang pelaku jenayah melibatkan remaja. Mymetro 16 November 2011 melaporkan anak tak sah taraf meningkat hingga 152,182 orang, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi 18,983 orang. (Sumber:JPN). Harian Metro 28 Disember 2010 melapor 111,484 orang pelajar terlibat dengan masalah disiplin di sekolah dan PDRM menyatakan 2004 hingga 2010 seramai 396 orang bayi dibuang dan  2011 pada bulan januari sahaja 34 kes telah dilaporkan. Graf di bawah membuktikan tahap kritikal kelahiran anak luar nikah.Sumber: Berita Harian :21 Mac 2010 & Mymetro: 16 Nov 2011

Masalah remaja dalam kes dadah pula, Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang. Mengikut laporan Agensi Anti dadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009. Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.

Mengikut Jabatan Siasatan Jenayah Pemerdagangan (JSJK), Malaysia mencatatkan kerugian akibat jenayah kolar putih sejumlah RM2 billion pada tahun 2008. Pada tahun 2005 didapati sebanyak 8,952 kes dan meningkat sehingga 168% pada tahun 2010 iaitu sebanyak 24,023 kes. Jenayah ini lebih merbahaya dan lebih besar impaknya menurut laporan ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ( Berita Kampus, 17 Mei 2012).

Malaysia mempunyai jumlah remaja seramai 5.47 juta yakni 1 per lima daripada seluruh penduduk Malaysia, mengikut laporan UNICEF bagi tahun 2010 hingga 2011 yang berusia 10 hingga 19 tahun. Pada tahun 2010, seramai 111,484 remaja yang terlibat dengan salah laku pelajar. Pada 2011 anak tak sah taraf sahaja 152,182. Berapakah tinggal baki remaja yang berpotensi untuk memajukan negara dan mereka ini pula terlibat dengan jenayah kolar putih yang semakin berleluasa malah susah untuk ditangani.

Kita lihat berbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mendepani masalah sosial masa kini yang semakin tempang. Justeru itu, usaha berterusan mesti dilakukan oleh semua pihak. Hanya satu cara yang diajar oleh Allah dan Rasulullah iaitu  dengan kembali kepada kaedah tarbiah Rasulullah s.a.w sebagaimana baginda sampai ke Madinah al-Munawwarah. Institusi pertama untuk mendidik remaja dengan mendatangkan mereka ke  masjid bukan setakat untuk solat dan meraikan hari-hari kebesaran islam tetapi lebih dari itu. Masjid hendaklah dijadikan tempat utama pusat tarbiah bukan membiarkan sekolah-sekolah yang mengambil alih tugas ini. Pendidikan agama untuk para remaja telah dipertangungjawabkan hanya kepada pihak sekolah. Inilah kesilapan pengurusan dakwah  di kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, adalah penting membudayakan pengurusan yang berkesan untuk mendidik masyarakat supaya dapat menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke kancah kemurkaan Allah S.W.T. Pengurusan masjid mesti berperanan mendidik para ibu yang akan mendidik pula anak-anak sejak dalam kandungan sehingga melahirkan pemuda pemudi yang berjiwa murni. Pengurusan masjid juga mestilah pro aktif dan kreatif dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memenuhi kehendak remaja masa kini untuk mendidik para remaja supaya mereka sentiasa dibimbing dan dipandu ke jalan yang benar. Untuk itu, pengurusan, pentadbiran, kepimpinan dan keaktifan saf ahli jawatan kuasa  di intitusi masjid adalah satu keperluan untuk menarik minat golongan tersebut.

Keaktifan saf pengurusan dan kepimpinan  dengan melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah  akan memandu para ibu, isteri dan anak-anak ke arah wanita solehah dan soleh. Diharapkan natijahnya akan terhindarlah anak remaja yang terlibat dengan berbagai gejala sosial hasil dari didikan ibu dan bapa yang akrab dengan masjid dan remaja-remaja yang gemar ke masjid.


Berdasarkan sebab-sebab di atas, maka satu kajian perlu dilakukan untuk memantapkan pengurusan aktiviti masjid supaya dapat menepati sasaran iaitu membimbing dan mendidik para remaja ke arah akidah, syariat dan akhlak yang betul. Maka dengan ini akan melahirkan remaja dan pemuda yang mempunyai jati diri yang tinggi dan mampu menungkah arus untuk mendepani masalah yang akan datang. Mereka juga berkemampuan membangunkan negara sebagai daulah Islamiayah yang menjurus kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Friday 19 December 2014

Masalah Perlantikan Jawatan Kuasa Masjid



Jabatan Agama Islam Negeri Perlis telah pun mempunyai satu struktur pengurusan masjid untuk seluruh negeri Perlis. Walau bagaimana pun tidak diketahui apakah kaedah-kaedah yang diguna pakai untuk mentadbir dan menguruskan masjid. Apa yang jelas ialah jawatan kuasa pengurusan masjid adalah terdiri daripada mereka yang dilantik oleh ahli kariah. Perkara yang menjadi masalah ialah pemilihan jawatan kuasa adalah lebih cenderung kepada memilih calon-calon tertentu sahaja. (Idris). Pada hal calon-calon yang dipilih adalah mereka yang berkelulusan rendah berdasarkan kepada kajian tersebut mendapati tahap pencapaian akademik 58.6 % daripada para imam dan ahli jawatan kuasa masjid adalah setakat darjah enam. (Ibid : 22). Namun terdapat juga ahli jawatan kuasa masjid yang berilmu pengetahuan tinggi tetapi tidak mampu mentadbir masjid sebagaimanayang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.


            Kajian tersebut juga mendapati pihak jabatan Agama Islam Negeri Perlis menghadapi masalah pentadbiran khususnya mengenai kawalan orang bawahan (Idris). Tanpa pengawalan yang rapi, apa-apa penyelewengan yang berlaku mungkin tidak dapat dikesan. Ini tentulah amat berbahaya kerana dalam segala proses bermatlamat penyelewengan adalah pembaziran yang merugikan dan akhirnya mungkin menjejaskan matlamat (Abdul Rahim Said). Berlaku salah guna kuasa dengan membuat pelbagai projek tanpa kelulusan dari ahli mesyuarat seperti membeli tv, membuat papan iklan, dan sebagainya.



Negeri Selangor telah mendahului negeri-negeri lain dalam pengurusan masjid kerana telah diwujudkan Penilaian Penanda Aras Pencapaian (KPI) bagi semua masjid dan surau seluruh negeri Selangor ( KPI Pengurusan Masjid, JAIS: 2012). Namun apabila diperhatikan, masih terdapat kelompongan dalam aktiviti remaja sedangkan golongan remaja inilah yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang. Malangnya peratus remaja terlibat dengan berbagai masalah sosial kian bertambah. Mana hak para beliadan remaja untuk mendekatkan diri dan hati mereka dengan masjid. Orang dewasa hanya tahu menyalahkan mereka apabila perkara keji berlaku tetapi tiada perihatin dari golongan dewasa terhadap mereka.



Thomas Carlyle memperkenalkan teori yang dipanggil Great Man Theory yang menyatakan bahawa setiap zaman memiliki pemimpin besarnya yang tersendiri. Perubahan sosial biasanya akan berlaku apabila pemimpin besar dari kalangan mereka memimpin bagi memulakan perubahan dan menghalang sesiapa sahaja yang membawa maksud yang berlawanan dengan mereka. Masjid adalah tempat da'i yang sepatutnya melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat, kenapa sebaliknya berlaku.



Gordon Willard Allport  pula adalah antara pemikir terawal yang mengutarakan Trait Theory. Teori ini menyatakan bahawa seorang pemimpin itu memiliki peribadi dan karakter yang berbeza dengan kebanyakan orang. Sebagaimana contohnya, seseorang pemimpin itu mempunyai kelebihan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling secepat mungkin, kepekaan sosial, seorang yang bercita-cita tinggi dan besar, berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, mempunyai keinginan mendominasi, energetik, yakin dengan dirinya sendiri, kalis daripada tekanan dan sedia memikul tanggungjawab. Nabi Muhammad s.a.w adalah pemimpin yang mendahului zaman, baginda memimpin dunia bermula dengan memimpin sebuah masjid, berapa ramai khalifah terdahulu yang dididik melalui masjid, kesemuanya lahir dari didikan dan bimbingan masjid. Mana peranan masjid tersebut pada masa sekarang.



Apapun metod dan teori yang diajarkan di barat sana, namun kita sebagai orang Islam sepatutnya terlebih dahulu merujuk kepada sumber Ilahiyat dalam agama kita iaitu al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Soal ada metod atau tidak bukan soal pokok, soalnya  siapakah pemimpin yang terbaik bagi dijadikan role model, yang memiliki qudwah hasanah dalam pengurusannya. Sebagaimana pesan Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Pengurusan Islam meletakkan  Nabi Muhammad saw adalah manusia yang terbaik dari segenap sudut khususnya kepimpinan sebagaimana yang dinukilkan oleh Michael H. Hart dalam bukunya 100 Most Influential Person In The World.     Beliau meletakkan Nabi Muhammad di tempat yang pertama mengalahkan 99 individu dengan katanya tidak ada manusia yang dikenang dan diperincikan segenap perkara mengenai hidupnya dan beliau mampu membina sebuah tamadun yang gemilang dengan hanya mengambil masa 23 tahun malah mampu menjadi contoh dari sudut emosi, spiritual dan keduniaan dengan begitu berjaya sekali. Inilah isu utama yang ingin diteliti oleh pengkaji, pengurusan masjid sekarang seolah-seolah tergelincir dari landasannya. Mengembalikanya ke landasan yang betul menjadi tanggungjawab semua pihak amnya dan khasnya jabatan agama Islam Negeri.



Terdapat beberapa sebab, masalah pengurusan aktiviti dakwah di masjid untuk golongan remaja ini perlu diteliti dan dikenalpasti. Kekuatan dan kelemahan sesuatu bangsa dan negara amat bergantung kepada golongan muda yang merupakan tonggak dan pewaris kesinambungan pembangunan dan kesejateraan negara. Golongan muda yang cemerlang dalam pelbagai aspek seperti akademik, kemahiran, sahsiah dan jati diri amat diperlukan untuk menyumbang secara positif kepada kecemerlangan pengukuhan ekonomi serta masa depan negara ( Fauziah, 2009). Fikirlah wahai umat islam sekelian terutama pemimpin masjid. adakah aku melaksanakan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika hayat baginda sebagai pemimpin di masjid.

Wednesday 10 December 2014

MASALAH PENGURUSAN MASJID


Assalamualaikum jawatan kuasa masjid dan semua umat Islam. Setiap orang wajib datang ke masjid sekurang-kurangnya dua kali setahun. Cuba perhatikan tingkah laku jawatan kuasa masjid. Tengok akhlak mereka.
Tajuk ini dipilih kerana berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, pengurusan masjid dan aktiviti dakwah  di masjid-masjid, didapati institusi masjid seolah-olah agak ketinggalan. Amnya masjid hanyalah dijadikan tempat solat oleh segelintir jemaah yang terlalu rendah peratusan kehadirannya berbanding dengan jumlah anak-anak kariah. Selain itu, masjid ini hanya didatangi oleh orang tua dan pesara. Fungsi masjid sebagai hanya tempat solat perlu dihakis daripada tanggapan masyarakat umum. Oleh itu suatu sistem pentadbiran dan pengurusan masjid yang efektif dan efisyen perlu diwujudkan bagi mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kegiatan ilmu, dakwah, bimbingan, ukhuwah, penyatuan ummah dan sebagainya.

Mohd .Mohadis bin Hj Yasin  mengatakan, institusi masjid rata-rata tidak lagi melaksanakan fungsi seluas peranan di zaman sebelumnya. Kebanyakan institusi masjid hanya berperanan sebagai tempat melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan kelas-kelas pengajian agama secara tidak formal. Tanggungjawab mengimarahkan masjid tidak dianggap sebagai satu tuntutan Islam yang penting. Manakala pengaruh masjid pula tidak kelihatan dalam kehidupan masyarakat, sebaliknya pengaruh di luar masjid lebih kuat mempengaruhi dan membentuk perilaku serta pemikiran mereka.

Antara masalah yang dihadapi oleh kebanyakan institusi masjid kini adalah bila mana ia diurus secara tradisi, tidak profesional dan tidak dinamik. Amalan pengurusan secara tradisional ini menyebabkan institusi masjid tidak mampu menerima anjakan paradigma dan matlamat kewujudannya seperti yang dituntut oleh Islam, tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.
Haji Ismail bin Hj Abd Manap, telah menyimpulkan bahawa adalah perlu diwujudkan pentadbiran masjid yang bersistematik bagi mempraktikkan apa yang disaran dalam al-Quran dan al-Sunnah. Semua ini bergantung kepada kewibawaan dan kecekapan para pentadbir itu sendiri. Menurut beliau; masjid yang mundur itu sebenarnya berpunca dari tidak menepati al-sunnah sebagai matlamat utama dalam pembinaan dan pembangunannya. Masjid boleh diumpamakan sebagai pusat perpaduan masyarakat yang menghubungkan antara manusia dengan Pencipta dan manusia dengan manusia. Masjid yang berpengaruh itu biasanya berjaya mewujudkan sistem pentadbiran yang boleh memenuhi citarasa jemaah dan masyarakat setempat.

              Selama ini masjid tidak diperkenalkan dengan suatu bentuk sistem pentadbiran dan pengurusan yang tersusun dan bersistematik. Pengamalan sistem urusan pentadbiran hanya dilaksanakan secara tradisional tanpa melakukan sebarang pindaan atau perubahan. Perubahan semata-mata berlaku dari segi bangunan dan segala kelengkapan prasarana sahaja telah menyebabkan fungsi institusi masjid tidak berkembang. (Sidi Gazalba, 1975 : 323)
.

Senario masyarakat pada masa sekarang yang dipenuhi dengan berbagai masalah dan gejala sosial yang sarat dengan kebejatan sosio- ekonomi akan menambahparahkan kehidupan masa kini. Kebejatan ekonomi menjemput kebejatan sosial dan bertambah kritikal dengan kedangkalan ilmu, oleh itu kes ragut, rompak, dan curi menjadi-jadi ditambah dengan kes rogol, sumbang mahram, kelahiran bayi dan buang bayi, semuanya ini berkait rapat antara ilmu, ekonomi dan sosial. Melihat keadaan ini, adalah menjadi kepentingan  untuk   mengembalikan fungsi masjid yang telah menjadi batu asas utama dalam membentuk masyarakat di zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Di mana silapnya, di mana salahnya, masjid di seluruh negara yang indah dan banyak tetapi tidak mampu membentuk dan membina masyarakat yang bermoral.

Berdasarkan laporan statistik Polis Diraja Malaysia, kes rogol telah meningkat 85% dari 2004 hingga ke 2007. Ini bermakna wanita Malaysia adalah 1.85 kali lebih risiko untuk dirogol pada 2007 berbanding 2004. Kes samun (melibatkan kekerasan) pula telah meningkat sebanyak 61% atau 1.6 kali ganda pada 2007 berbanding 2004. Sebanyak 33,599 kejadian pecah rumah direkodkan pada 2007 berbanding 24,904 pada tahun 2004. (Sumber: Statistik Polis Diraja Malaysia & Journal of the Kuala Lumpur Royal Malaysia Police College).

Ini adalah sebahagian dari kes-kes sosial yang menghantui masyarakat kita sehingga orang ramai merasa tidak selamat. Membiarkan anak gadis berjalan ke sekolah sendirian, ke kedai sendirian dan ke taman permainan sendirian telah membimbangkan ibu bapa di Malaysia. Manakah institusi pendidikan yang bertanggungjawab untuk mendidik setiap individu dalam masyarakat ke arah takutkan Allah dan takutkan balasan Allah SWT sehingga mereka tidak sanggup melakukan sebarang jenayah walaupun mereka menghadapi kemelut kelaparan kerana kemiskinan. Takut kepada Allah SWT melampaui kebimbangan akan takut kepada kelaparan. Inilah peranan, fungsi, visi dan misi semua masjid di Malaysia yang mana tanggungjawab ini tidak boleh sama sekali diberikan kepada lain-lain institusi.

Antara sebab saya memilih tajuk ini ,adalah untuk mengurangkan masalah sosio-ekonomi dan masalah jenayah dalam masyarakat dengan menekankan aktiviti dakwah  di masjid- masjid seluruh Selangor. Sekiranya saya tidak dilakukan, pengurusan masjid masih berada di takok lama yang tidak mampu memberi sumbangan kepada pembinaan tamadun manusia sedangkan di zaman Rasululullah s.aw. masjid menjadi tonggak kepada pembinaan akidah, syariat dan akhlak. Dengan pengurusan yang cekap dan menepati sasaran akan melonjakkan dakwah yang akhirnya melahirkan masyarakat yang berakhlak.Inilah sebahagian dari amanah Allah kepada saya.

Selain daripada itu, untuk membina tamadun manusia sepatutnya dimulakan dengan pendidikan awal kanak-kanak lagi. Saya dapati, kurangnya aktiviti  yang di jalankan oleh masjid untuk golongan remaja, kebanyakan aktiviti tertumpu kepada kelas pengajian untuk golongan dewasa dan pesara sedangkan remajalah yang sangat memerlukan bimbingan dan pimpinan kerana mengikut  Granville Stanley Hall (1844-1924), remaja adalah tempoh masa di antara umur 12 hingga 23 tahun dan ia dipenuhi dengan gelora dan tekanan (storm dan stress) , jiwa yang penuh dengan idealisme, komitmen matlamat, rasa berahi, perasaan dan revolusi. Hall menambah lagi, pemikiran remaja, perasaan dan tindakannya sentiasa berbolak balik antara keangkuhan dan rendah hati, kebaikan dan godaan, kegembiraan dan kesedihan.

Berdasarkan situasi remaja bersifat demikian, maka remaja perlu dibimbing supaya mereka berada dilandasan yang betul dengan pembentukan peribadi yang unggul untuk menjadi pewaris bangsa dan negara. Masjidlah tempat yang paling sesuai untuk mendidik dan mentarbiah remaja sebagaimana yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW dan didapati kesannya amat menakjubkan. Hal ini akan dibincang dalam tajuk seterusnya.

Pentingnya masalah ini diteliti adalah untuk mengetahui sebab musabab kenapa pengurusan aktiviti di masjid tidak efisyen, adakah ia berpunca disebabkan kekurangan ilmu agama atau  ilmu kemahiran kepengurusan ahli jawatan kuasanya. Jika ini berlaku, pihak Jabatan Agama Negeri hendaklah berbuat sesuatu seperti kursus, seminar, bengkel, latihan demi latihan supaya masjid itu kembali berperanan seperti zaman Rasulullah SAW dahulu. Dengan ini masjid mampu membentuk generasi remaja yang jauh dari gejala sosial dan seterusnya menghindarkan berlakunya jenayah kolar putih yang lebih parah kesannya.

Apa yang menarik untuk meneliti masalah ini adalah kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri yang aktif dalam NGO sebagai pengerusi, setiausaha, bendahari dan AJK. Malah saya  pernah menjadi pengerusi Lajnah Helwa masjid selama 6 tahun, dan pernah mengajurkan banyak aktiviti untuk remaja. Dari pemerhatian dan pengalaman pengkaji sendiri didapati amat sukar untuk menganjur aktiviti dakwah untuk para remaja kerana tidak mendapat kerjasama dari ahli jawatankuasa masjid. Apakah sebab hal ini terjadi?.


BERKENALAN DENGAN MASJID


Assalamualaikum wrt semua umat Islam yang cintakan masjid,
Benarkah kita, hamba Allah yang mencintai rumah Allah ini, benarkah kita hamba Allah yang berkorban menjadi hamba-Nya melalui masjid ini atau kita hanya gunakan masjid untuk menambah kekuasaan kita?. ikutilah penulisan ku ini yang mengajak kalian berfikir tentang hal yang saya nyatakan tadi.
Saya mengajak tuan/puan berfikir sejenak sabda Rasulullah saw ini yang bermaksud 

" Apabila diserahkan urusan sesuatu perkara kepada seorang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya" (Sahih Bukhari)

Ini menunjukan pentingnya ilmu pengurusan dalam mentadbir  sesebuah masjid bukannya ilmu pengurusan sekularisme!. Saya akan buktikan dalam siri penulisan saya nanti insyaAllah.

Untuk membentuk seorang individu memerlukan pengurusan yang sistematik, berdisiplin dan terancang. Malah memerlukan komitmen yang tinggi serta pengorbanan yang banyak. Apatah lagi, jika berhasrat untuk membentuk sebuah masyarakat yang berpaksikan syariat, berakhlak mulia serta taat dan patuh kepada Allah SWT.

Di dalam masyarakat, terdapat banyak institusi yang boleh memainkan peranan masing-masing bagi membentuk masyarakat sedemikian. Hal ini, bergantung kepada pengurusan, pentadbiran, kewangan , misi dan visi setiap institusi tersebut. Antara institusi yang bermatlamat untuk membina masyarakat ke arah berakhlak dan bersyariat ialah institusi masjid, Majlis Fatwa, mahkamah syariah, jabatan agama Islam Negeri, JAKIM, badan-badan NGO seperti YADIM, PERKIM, ABIM, IKRAM, HALUAN dan banyak lagi. Dalam kajian ini pengkaji memilih institusi masjid. Jumlah masjid sahaja di Selangor sebanyak 425 buah, surau pula sebanyak 1853 dan surau solat jumaat sebanyak 179 buah. Berdasarkan jumlah ini, ia merupakan satu institusi yang hebat untuk menjana kecemerlangan remaja. Oleh itu, kejayaan sesebuah institusi atau organisasi  itu adalah banyak bergantung kepada kecekapan pengurusan dan pentadbiran. Banyak sahaja tidak memberi impak kepada masyarakat jika tidak diurustadbir dengan bijaksana ( http://www.jais.gov.my/).

Masjid merupakan sebuah institusi yang sangat penting dalam membentuk masyarakat yang seimbang , berjaya di dunia dan akhirat. Membina masyarakat yang berakhlak, yang masyarakatnya boleh hidup dengan harmoni, aman dan sejahtera. Masyarakat yang menjauhi perbuatan keji dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar akan menyediakan kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat. Untuk mencapai visi ini, keperluan kepada pengurusan yang cemerlang sangatlah dituntut. Oleh itu, satu kajian dan tindakan mestilah dibuat dan dilaksanakan bagi mengembalikan fungsi masjid ke tampuk asalnya terutama dalam mendidik anak-anak remaja sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw, para sahabat, tabiin dan tabik tabiin serta para ulama silam. Kayu ukur inilah yang paling tepat untuk menilai kecintaan kita kepada Allah melalui pengurusan masjid. Perhatikanlah tulisan saya ini sampai tamat sekiranya ingin mencari reda Allah dengan masjid. InshaAllah.