Assalamualaikum jawatan kuasa masjid dan semua umat Islam. Setiap orang wajib datang ke masjid sekurang-kurangnya dua kali setahun. Cuba perhatikan tingkah laku jawatan kuasa masjid. Tengok akhlak mereka.
Tajuk
ini dipilih kerana berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, pengurusan masjid dan aktiviti dakwah di masjid-masjid, didapati
institusi masjid seolah-olah agak ketinggalan. Amnya masjid hanyalah dijadikan
tempat solat oleh segelintir jemaah yang terlalu rendah peratusan kehadirannya
berbanding dengan jumlah anak-anak kariah. Selain itu, masjid ini hanya
didatangi oleh orang tua dan pesara. Fungsi masjid sebagai hanya tempat solat
perlu dihakis daripada tanggapan masyarakat umum. Oleh itu suatu sistem
pentadbiran dan pengurusan masjid yang efektif dan efisyen perlu diwujudkan
bagi mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kegiatan ilmu, dakwah,
bimbingan, ukhuwah, penyatuan ummah dan sebagainya.
Mohd
.Mohadis bin Hj Yasin mengatakan,
institusi masjid rata-rata tidak lagi melaksanakan fungsi seluas peranan di
zaman sebelumnya. Kebanyakan institusi masjid hanya berperanan sebagai tempat
melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan kelas-kelas pengajian agama secara
tidak formal. Tanggungjawab mengimarahkan masjid tidak dianggap sebagai satu
tuntutan Islam yang penting. Manakala pengaruh masjid pula tidak kelihatan
dalam kehidupan masyarakat, sebaliknya pengaruh di luar masjid lebih kuat
mempengaruhi dan membentuk perilaku serta pemikiran mereka.
Antara masalah yang dihadapi oleh kebanyakan institusi
masjid kini adalah bila mana ia diurus secara tradisi, tidak profesional dan
tidak dinamik. Amalan pengurusan secara tradisional ini menyebabkan institusi
masjid tidak mampu menerima anjakan paradigma dan matlamat kewujudannya seperti
yang dituntut oleh Islam, tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.
Haji Ismail bin Hj Abd Manap, telah menyimpulkan
bahawa adalah perlu diwujudkan pentadbiran masjid yang bersistematik bagi
mempraktikkan apa yang disaran dalam al-Quran dan al-Sunnah. Semua ini
bergantung kepada kewibawaan dan kecekapan para pentadbir itu sendiri. Menurut
beliau; masjid yang mundur itu sebenarnya berpunca dari tidak menepati
al-sunnah sebagai matlamat utama dalam pembinaan dan pembangunannya. Masjid
boleh diumpamakan sebagai pusat perpaduan masyarakat yang menghubungkan antara
manusia dengan Pencipta dan manusia dengan manusia. Masjid yang berpengaruh itu
biasanya berjaya mewujudkan sistem pentadbiran yang boleh memenuhi citarasa jemaah
dan masyarakat setempat.
Selama ini masjid tidak diperkenalkan dengan suatu bentuk sistem pentadbiran dan pengurusan yang tersusun dan bersistematik. Pengamalan sistem urusan pentadbiran hanya dilaksanakan secara tradisional tanpa melakukan sebarang pindaan atau perubahan. Perubahan semata-mata berlaku dari segi bangunan dan segala kelengkapan prasarana sahaja telah menyebabkan fungsi institusi masjid tidak berkembang. (Sidi Gazalba, 1975 : 323).
Senario
masyarakat pada masa sekarang yang dipenuhi dengan berbagai masalah dan gejala
sosial yang sarat dengan kebejatan sosio- ekonomi akan menambahparahkan
kehidupan masa kini. Kebejatan ekonomi menjemput kebejatan sosial dan bertambah
kritikal dengan kedangkalan ilmu, oleh itu kes ragut, rompak, dan curi
menjadi-jadi ditambah dengan kes rogol, sumbang mahram, kelahiran bayi dan
buang bayi, semuanya ini berkait rapat antara ilmu, ekonomi dan sosial. Melihat
keadaan ini, adalah menjadi kepentingan untuk mengembalikan fungsi masjid yang telah
menjadi batu asas utama dalam membentuk masyarakat di zaman Rasulullah s.a.w.
dan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Di mana silapnya, di mana salahnya, masjid di seluruh
negara yang indah dan banyak tetapi tidak mampu membentuk dan membina
masyarakat yang bermoral.
Berdasarkan laporan statistik Polis Diraja
Malaysia, kes rogol telah meningkat 85% dari 2004 hingga ke 2007. Ini bermakna
wanita Malaysia adalah 1.85 kali lebih risiko untuk dirogol pada 2007
berbanding 2004. Kes samun (melibatkan kekerasan) pula telah meningkat sebanyak
61% atau 1.6 kali ganda pada 2007 berbanding 2004. Sebanyak 33,599 kejadian
pecah rumah direkodkan pada 2007 berbanding 24,904 pada tahun 2004. (Sumber: Statistik Polis Diraja Malaysia &
Journal of the Kuala Lumpur Royal Malaysia Police College).
Ini adalah sebahagian dari kes-kes sosial yang
menghantui masyarakat kita sehingga orang ramai merasa tidak selamat.
Membiarkan anak gadis berjalan ke sekolah sendirian, ke kedai sendirian dan ke
taman permainan sendirian telah membimbangkan ibu bapa di Malaysia. Manakah
institusi pendidikan yang bertanggungjawab untuk mendidik setiap individu dalam
masyarakat ke arah takutkan Allah dan takutkan balasan Allah SWT sehingga
mereka tidak sanggup melakukan sebarang jenayah walaupun mereka menghadapi
kemelut kelaparan kerana kemiskinan. Takut kepada Allah SWT melampaui
kebimbangan akan takut kepada kelaparan. Inilah peranan, fungsi, visi dan misi
semua masjid di Malaysia yang mana tanggungjawab ini tidak boleh sama sekali
diberikan kepada lain-lain institusi.
Antara sebab saya memilih tajuk ini ,adalah untuk mengurangkan masalah sosio-ekonomi dan masalah jenayah
dalam masyarakat dengan menekankan aktiviti dakwah di masjid- masjid seluruh Selangor. Sekiranya saya tidak dilakukan, pengurusan masjid masih berada di takok lama yang tidak
mampu memberi sumbangan kepada pembinaan tamadun manusia sedangkan di zaman
Rasululullah s.aw. masjid menjadi tonggak kepada pembinaan akidah, syariat dan
akhlak. Dengan pengurusan yang cekap dan menepati sasaran akan melonjakkan
dakwah yang akhirnya melahirkan masyarakat yang berakhlak.Inilah sebahagian dari amanah Allah kepada saya.
Selain daripada itu, untuk membina tamadun manusia
sepatutnya dimulakan dengan pendidikan awal kanak-kanak lagi. Saya dapati, kurangnya aktiviti yang di
jalankan oleh masjid untuk golongan remaja, kebanyakan aktiviti tertumpu kepada
kelas pengajian untuk golongan dewasa dan pesara sedangkan remajalah yang
sangat memerlukan bimbingan dan pimpinan kerana mengikut Granville Stanley Hall (1844-1924), remaja
adalah tempoh masa di antara umur 12 hingga 23 tahun dan ia dipenuhi dengan
gelora dan tekanan (storm dan stress) , jiwa yang penuh dengan idealisme,
komitmen matlamat, rasa berahi, perasaan dan revolusi. Hall menambah lagi, pemikiran
remaja, perasaan dan tindakannya sentiasa berbolak balik antara keangkuhan dan
rendah hati, kebaikan dan godaan, kegembiraan dan kesedihan.
Berdasarkan situasi remaja bersifat demikian, maka
remaja perlu dibimbing supaya mereka berada dilandasan yang betul dengan pembentukan
peribadi yang unggul untuk menjadi pewaris bangsa dan negara. Masjidlah tempat
yang paling sesuai untuk mendidik dan mentarbiah remaja sebagaimana yang telah
diamalkan oleh Rasulullah SAW dan didapati kesannya amat menakjubkan. Hal ini
akan dibincang dalam tajuk seterusnya.
Pentingnya masalah ini diteliti adalah untuk
mengetahui sebab musabab kenapa pengurusan aktiviti di masjid tidak efisyen,
adakah ia berpunca disebabkan kekurangan ilmu agama atau ilmu kemahiran kepengurusan ahli jawatan kuasanya. Jika ini
berlaku, pihak Jabatan Agama Negeri hendaklah berbuat sesuatu seperti kursus,
seminar, bengkel, latihan demi latihan supaya masjid itu kembali berperanan
seperti zaman Rasulullah SAW dahulu. Dengan ini masjid mampu membentuk generasi
remaja yang jauh dari gejala sosial dan seterusnya menghindarkan berlakunya
jenayah kolar putih yang lebih parah kesannya.
Apa yang menarik untuk meneliti masalah
ini adalah kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri yang aktif dalam NGO
sebagai pengerusi, setiausaha, bendahari dan AJK. Malah saya pernah menjadi pengerusi Lajnah Helwa masjid
selama 6 tahun, dan pernah mengajurkan banyak aktiviti untuk remaja. Dari
pemerhatian dan pengalaman pengkaji sendiri didapati amat sukar untuk menganjur
aktiviti dakwah untuk para remaja kerana tidak mendapat kerjasama dari ahli
jawatankuasa masjid. Apakah sebab hal ini terjadi?.
No comments:
Post a Comment