Dalam era
globalisasi yang mana manusia harus berhadapan dengan dunia tanpa sempadan,
pelbagai cabaran khasnya yang berkaitan dengan masalah sosial dan keruntuhan
akhlak dalam kalangan generasi muda remaja amat membimbangkan. Sebagai salah
satu usaha murni untuk membantu mengatasi masalah tersebut, beberapa faktor
pelindung bagi menangani masalah berkaitan dengan remaja adalah diperlukan
(Smith, 2004). Justeru itu, menyedari bahawa aspek keagamaan merupakan elemen penting
untuk mengekang masalah sosial yang lebih rumit, maka penerapan dan pengukuhan
agama dalam kalangan anak-anak perlu diberikan perhatian utama. Pengetahuan
agama yang kukuh mampu menjadi pelindung
kepada generasi muda remaja yang berada
di peringkat pembesaran dan sedang mencari identiti diri (Corcoran &
Nichols-Casebot, 2004; Wallace, dll., 2007).
Remaja yang mempunyai pegangan dan pengetahuan agama yang tinggi dilihat
mampu mengatur kehidupannya dengan lebih
tenang, sempurna dan sejahtera (McCullough
& Willioughby, 2006).
Keperluan
remaja kepada agama sangat tinggi bagi membendong salah laku devien atau keruntuhan akhlak remaja. Banyak kajian yang
dibuat tentang keperluan remaja kepada agama, dan kajian tersebut membuktikan
bahawa agamalah jalan penyelesai kepada kemelut tersebut . Robiah,(2001)
Kepercayaan agama merupakan suatu tenaga paling unggul untuk mencegah dan
menentang segala unsur negatif yang menyerang emosi dan mental. Pegangan
prinsip dan pendirian yang kukuh
berlandaskan ajaran agama dapat mencegah seseorang remaja daripada
dipengaruhi oleh unsur-unsur pergaulan
bebas yang tidak sihat dan melampaui batas.
Selain
sekolah, tiada tempat untuk remaja
mendapatkan ilmu agama yang cukup. Oleh
itu, masjidlah tempat yang sewajarnya berfungsi memberi ilmu agama seperti
akidah, syariah, fardu ain, al-Quran dan sirah para nabi. Malangnya, masjid
tidak menjadi tempat yang wajib didatangi oleh mereka. Mengapakah hal ini
berlaku, adakah disebabkan ketiadaan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan
zaman mereka, atau disebabkan pengurusan masjid yang tidak menghiraukan
perkembangan dan masalah remaja masa kini atau disebabkan ketandusan
pemimpin-pemimpin yang mampu mengurus masjid dengan sebaiknya sebagaimana yang
diamanahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah saw.
Senario
remaja masa sekarang mengikut Tan Sri Lee Lam Thye mengatakan 2,425 orang
pelaku jenayah melibatkan remaja. Mymetro 16 November 2011 melaporkan anak tak
sah taraf meningkat hingga 152,182 orang, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi
18,983 orang. (Sumber:JPN). Harian Metro 28 Disember 2010 melapor 111,484 orang
pelajar terlibat dengan masalah disiplin di sekolah dan PDRM menyatakan 2004
hingga 2010 seramai 396 orang bayi dibuang dan
2011 pada bulan januari sahaja 34 kes telah dilaporkan. Graf di bawah
membuktikan tahap kritikal kelahiran anak luar nikah.Sumber:
Berita Harian :21 Mac 2010 & Mymetro: 16 Nov 2011
Masalah
remaja dalam kes dadah pula, Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu
dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh
diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita
orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika
menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun,
Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan
memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa,
Kapar, Klang. Mengikut laporan Agensi Anti dadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah
penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu
9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07
peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97
peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46
peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan
peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009. Sepanjang
Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang,
meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu,
manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus
berbanding 1,136 tahun sebelumnya.
Mengikut
Jabatan Siasatan Jenayah Pemerdagangan (JSJK), Malaysia mencatatkan kerugian
akibat jenayah kolar putih sejumlah RM2 billion pada tahun 2008. Pada tahun
2005 didapati sebanyak 8,952 kes dan meningkat sehingga 168% pada tahun 2010
iaitu sebanyak 24,023 kes. Jenayah ini lebih merbahaya dan lebih besar impaknya
menurut laporan ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ( Berita Kampus, 17 Mei
2012).
Malaysia
mempunyai jumlah remaja seramai 5.47 juta yakni 1 per lima daripada seluruh
penduduk Malaysia, mengikut laporan UNICEF bagi tahun 2010 hingga 2011 yang
berusia 10 hingga 19 tahun. Pada tahun 2010, seramai 111,484 remaja yang
terlibat dengan salah laku pelajar. Pada 2011 anak tak sah taraf sahaja
152,182. Berapakah tinggal baki remaja yang berpotensi untuk memajukan negara
dan mereka ini pula terlibat dengan jenayah kolar putih yang semakin berleluasa
malah susah untuk ditangani.
Kita
lihat berbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mendepani
masalah sosial masa kini yang semakin tempang. Justeru itu, usaha berterusan
mesti dilakukan oleh semua pihak. Hanya satu cara yang diajar oleh Allah dan
Rasulullah iaitu dengan kembali kepada
kaedah tarbiah Rasulullah s.a.w sebagaimana baginda sampai ke Madinah
al-Munawwarah. Institusi pertama untuk mendidik remaja dengan mendatangkan
mereka ke masjid bukan setakat untuk
solat dan meraikan hari-hari kebesaran islam tetapi lebih dari itu. Masjid
hendaklah dijadikan tempat utama pusat tarbiah bukan membiarkan sekolah-sekolah
yang mengambil alih tugas ini. Pendidikan agama untuk para remaja telah
dipertangungjawabkan hanya kepada pihak sekolah. Inilah kesilapan pengurusan
dakwah di kalangan umat Islam.
Sehubungan
itu, adalah penting membudayakan pengurusan yang berkesan untuk mendidik
masyarakat supaya dapat menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke kancah
kemurkaan Allah S.W.T. Pengurusan masjid mesti berperanan mendidik para ibu
yang akan mendidik pula anak-anak sejak dalam kandungan sehingga melahirkan
pemuda pemudi yang berjiwa murni. Pengurusan masjid juga mestilah pro aktif dan
kreatif dengan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memenuhi kehendak remaja
masa kini untuk mendidik para remaja supaya mereka sentiasa dibimbing dan
dipandu ke jalan yang benar. Untuk itu, pengurusan, pentadbiran, kepimpinan dan
keaktifan saf ahli jawatan kuasa di
intitusi masjid adalah satu keperluan untuk menarik minat golongan tersebut.
Keaktifan
saf pengurusan dan kepimpinan dengan
melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah akan memandu para ibu, isteri dan anak-anak ke
arah wanita solehah dan soleh. Diharapkan natijahnya akan terhindarlah anak
remaja yang terlibat dengan berbagai gejala sosial hasil dari didikan ibu dan
bapa yang akrab dengan masjid dan remaja-remaja yang gemar ke masjid.
Berdasarkan
sebab-sebab di atas, maka satu kajian perlu dilakukan untuk memantapkan
pengurusan aktiviti masjid supaya dapat menepati sasaran iaitu membimbing dan
mendidik para remaja ke arah akidah, syariat dan akhlak yang betul. Maka dengan
ini akan melahirkan remaja dan pemuda yang mempunyai jati diri yang tinggi dan
mampu menungkah arus untuk mendepani masalah yang akan datang. Mereka juga
berkemampuan membangunkan negara sebagai daulah Islamiayah yang menjurus kepada
kebahagiaan dunia dan akhirat.